JKKN anjur FESTIVAL KOTA SELATAN 2022 - Utusan TV
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan menjayakan sebuah Program Pelancongan Budaya iaitu Festival Kota Selatan (FKS2022) yang akan berlangsung pada 6 dan 7 Ogos ini bertempat di Dataran Sungai Melaka, Menara Taming Sari dan Jonker Walk di Melaka.
Festival bertemakan ‘temasya seni budaya rakyat selatan semenanjung Malaysia’ ini turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Ia merupakan sebahagian daripada acara sambutan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO.
Selama dua berlangsung, pelbagai aktiviti berteraskan seni budaya dan warisan merangkumi aspek keusahawanan, gaya hidup dan pencungkilan bakat muda akan dijalankan mewakili negeri-negeri selatan semenanjung Malaysia.
Antara aktiviti yang merancakkan festival ini ialah Malam Kota Selatan Vaganza, Pertandingan Peragaan Busana Melaka Zaman Gemilang, Pertandingan Sarung Kita, Pertarungan Joget dan Zapin dan Persembahan Kesenian Rakyat Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Penganjuran FKS2022 yang diadakan secara fizikal dan bergilir mengikut tiga buah negeri ini mampu menyerlahkan apresiasi kesenian rakyat di wilayah masing-masing. Secara tidak langsung, ia turut memperkenalkan keunikan budaya menerusi persembahan, busana, loghat daerah serta kepelbagaian adat resam rakyat selatan semenanjung Malaysia.
“FKS 2022 diharapkan dapat menemukan idea dan pertemuan baru para karyawan dalam sektor seni budaya dan warisan di seluruh Malaysia. Ia sebagai usaha merancakkan sektor industri budaya dan pelancongan untuk melestarikan kandungan seni, budaya, warisan di samping usaha memupuk minat generasi muda,” kata Haji Mesran bin Mohd Yusop, Ketua Pengarah JKKN.
Pertubuhan Seni Kesidang Sari (PERSIDANG) dan Persatuan Rebana Keras Klebang Besar Melaka merupakan rakan strategik NGO Melaka yang berganding bahu menjayakan festival ini.
Antara yang terlibat menjayakan Malam Gala FKS2022 ialah Kumpulan Kesenian JKKN Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, Kombo Kumpulan Kesenian Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Kumpulan Muzik Asli Institut Warisan Melaka dan Gabungan Badan Seni Budaya Bukan Kerajaan Negeri Melaka.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’